Apabila Bill Pinkney belayar solo mengelilingi dunia pada tahun 1992, dia mengikut laluan yang lebih sukar dengan mengelilingi Tanjung Selatan Besar yang amat berbahaya. Dia melakukannya demi tujuan yang lebih murni. Pelayarannya adalah untuk mengilhami dan mendidik kanak-kanak, termasuklah pelajar-pelajar bekas sekolah rendahnya di pusat bandar raya Chicago. Matlamatnya? Demi menunjukkan betapa banyaknya yang dapat dicapai oleh mereka dengan belajar bersungguh-sungguh dan membuat komitmen—perkataan yang telah dipilihnya untuk menamakan kapalnya. Apabila Billy membawa murid-murid sekolah untuk belayar dengan kapalnya yang dinamakan Commitment, dia berkata, “Tangan mereka mengendalikan celaga kemudi kapal, lalu mereka belajar tentang pengawalan, kawalan diri dan kerjasama sebagai sebuah pasukan … segala sifat asas yang diperlukan oleh seseorang untuk mencapai kejayaan dalam hidup.”
Kata-kata Pinkney menggambarkan hikmah Salomo. “Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya” (Amsal 20:5). Salomo mengajak yang lain untuk meneliti matlamat hidup mereka. Kalau tidak, “Terjeratlah,” katanya, “seseorang yang terburu-buru mengatakan sesuatu itu ‘Suci’, dan hanya memikirkannya semula setelah dia bernazar” (ayat 25).
Sebaliknya, William Pinkney mempunyai matlamat jelas yang akhirnya telah mengilhami tiga puluh ribu orang pelajar di seluruh Amerika Syarikat untuk belajar daripada pengembaraannya. Pinkney menjadi orang Afrika Amerika pertama yang dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran Pelayaran Kebangsaan. “Kanak-kanak menyaksikannya,” kata Pinkney. Dengan matlamat yang serupa, marilah kita menetapkan haluan kita berdasarkan pimpinan Tuhan.