Semasa saya sedang menilai timbunan kertas peperiksaan kelas penulisan universiti yang saya ajar, saya terkagum dengan salah satu kertas yang telah ditulis dengan sangat baik! Hasil tulisannya terlalu baik sehingga saya terdorong untuk menyelidikinya. Akhirnya saya mendapati bahawa kertas itu telah diciplak daripada sumber dalam talian.

Saya menghantar e-mel kepada siswi itu untuk memberitahu dia bahawa helahnya telah didedahkan. Dia akan mendapat markah kosong untuk kertas tersebut, tetapi dia boleh menulis semula tugasan untuk mendapat kredit separa. Dia kemudiannya membalas: “Saya berasa amat malu dan sangat menyesal. Saya menghargai kasih kurnia yang ditunjukkan oleh profesor kepada saya walaupun saya tidak layak menerimanya.” Saya membalas dengan memberitahunya bahawa setiap orang menerima kasih kurnia Yesus setiap hari, jadi bagaimana mungkin saya tidak menunjukkan yang sama kepadanya?

Terdapat banyak cara bahawa kasih kurnia Tuhan telah membangun kehidupan kita dan menebus kita daripada kesilapan kita. Petrus berkata bahawa kasih kurnia Tuhan telah membawa keselamatan: “Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Tuhan Yesus dapat kita berharap untuk diselamatkan” (Kisah Para Rasul 15:11). Paulus berkata bahawa ini membantu kita agar tidak terperangkap dalam dosa: “Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia” (Roma 6:14). Dalam ayat yang lain, Petrus berkata bahawa rahmat Tuhan membolehkan kita melayani: “Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua” (1 Petrus 4:10).

Kasih kurnia, sesuatu yang diberikan secara percuma oleh Tuhan (Efesus 4:7). Semoga kita menggunakan kurnia ini untuk mengasihi dan menggalakkan orang lain.