Semasa menggerudi minyak di salah sebuah negara yang paling panas dan kering di dunia, para penggerudi terkejut apabila menemui sebuah sistem air bawah tanah yang besar. Oleh itu, pada tahun 1983, projek “sungai buatan manusia yang hebat” telah dimulakan, sistem paip telah dibina untuk membawa air tawar berkualiti tinggi ke bandar-bandar yang amat memerlukan air. Papan tanda berhampiran permulaan projek tersebut tertulis kata-kata berikut, “Dari sini mengalir arteri kehidupan.”
Nabi Yesaya menggunakan gambaran air di padang pasir untuk menggambarkan seorang raja yang adil pada masa hadapan (Yesaya 32). Apabila raja dan pemerintah memerintah dengan keadilan dan kebenaran, mereka akan menjadi “seperti aliran air di tempat yang gersang, seperti naungan bukit batu yang besar di tanah yang tandus” (ayat 2). Sesetengah pemerintah memilih untuk mengambil dan bukannya memberi. Namun, tanda seorang pemimpin yang memuliakan Tuhan adalah seseorang yang membawa perlindungan, penyelamatan, penyegaran dan penjagaan. Yesaya berkata bahawa “Hasil perbenaran ialah kedamaian” bagi umat-Nya, dan “kesan perbenaran ialah kesentosaan dan keamanan untuk selama-lamanya” (ayat 17).
Kata-kata Yesaya yang penuh harapan kemudiannya akan menemui makna penuh dalam diri Yesus, yang “Tuhan akan turun dari syurga … Lantas kita akan bersama Tuhan selama-lamanya” (1 Tesalonika 4:16-17). “Sungai buatan manusia yang hebat” hanyalah dibuat oleh tangan manusia. Suatu hari nanti takungan air itu akan habis. Namun, Raja kita yang adil membawa penyegaran dan air kehidupan yang tidak pernah kering.