“Saya ini pemilik atau pengurus?” Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berbilion-bilion ringgit bertanyakan soalan itu kepada dirinya sendiri, sambil mempertimbangkan kebajikan untuk keluarganya. Oleh sebab dia bimbang godaan boleh sahaja datang dengan adanya kekayaan yang banyak, maka dia tidak mahu membebankan pewarisnya dengan cabaran itu. Oleh itu, dia melepaskan pemilikan syarikatnya dan meletakkan 100 peratus saham mengundi dalam tabung amanah. Dia menyedari bahawa segala kepunyaannya ialah milik Tuhan, dan ini membantu dia membuat keputusan untuk membenarkan keluarganya mencari nafkah dengan bekerja, di samping itu menggunakan keuntungan masa depan untuk membiayai pelayanan Kristian.
Dalam Mazmur 50:10, Tuhan berfirman kepada umat-Nya, “kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku, begitu juga lembu di atas seribu bukit.” Sebagai Pencipta atas segala makhluk, Tuhan tidak berhutang kepada kita dan tidak memerlukan apa-apa daripada kita. Dia berfirman, “Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu” (ayat 9). Tuhan yang bermurah hati menyediakan segala yang kita punyai, agar kita boleh menggunakan kekuatan serta keupayaan ini untuk mencari rezeki. Oleh itu, seperti yang ditunjukkan dalam Mazmur, Dia layak disembah kita dengan sepenuh hati.
Tuhan memiliki segalanya. Tetapi kerana kebaikan-Nya, Dia memilih untuk menyerahkan nyawa-Nya, serta membina hubungan dengan sesiapa yang kembali kepada-Nya. Yesus “datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang” (Markus 10:45). Apabila kita menghargai Pemberi lebih daripada kurnia-kurnia yang diberikan-Nya, dan melayani Dia dengan segala kurnia yang kita ada, kita akan menerima berkat dan sukacita daripada Tuhan untuk selama-lamanya.