Biasanya rama-rama tidak dianggap sebagai makhluk yang berbunyi kuat: seekor rama-rama Raja yang mengibaskan sayap boleh dikatakan bunyinya tidak kedengaran. Tetapi di hutan hujan Mexico, apabila gabungan kawanan rama-rama di hutan itu mengibas-ngibas sayap, penghasilan bunyi yang sangat kuat sungguh mengagumkan. Apabila jutaan rama-rama Raja mengibaskan sayap secara serentak, bunyinya seperti air terjun yang deras.
Penjelasan yang sama berlaku apabila empat makhluk bersayap yang sangat berbeza muncul dalam penglihatan Yehezkiel. Walaupun bilangan makhluk itu kurang daripada bilangan rama-rama, dia menyamakan bunyi sayap empat makhluk itu seperti “bunyi air bah” (Yehezkiel 1:24). Apabila makhluk-makhluk ini berhenti dan menurunkan sayap, Yehezkiel mendengar suara Tuhan yang memanggil dia, “Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka [bangsa Israel]” (2:7).
Yehezkiel, seperti nabi-nabi lain dalam Perjanjian Lama, ditugaskan untuk menyampaikan kebenaran kepada umat Tuhan. Hari ini, Tuhan menugaskan setiap kita untuk berkongsi kebenaran mengenai perbuatan-Nya dalam kehidupan kita kepada orang lain (1 Petrus 3:15). Kadang-kadang kita akan diajukan dengan soalan yang langsung–dijemput untuk berkongsi kebenaran yang “sekuat” air bah tentang Tuhan. Pada masa yang lain, panggilan itu mungkin lebih seperti bisikan, seperti melihat keperluan yang tidak terucap. Panggilan untuk berkongsi kasih Tuhan, sama ada sekuat bunyi kibasan sayap jutaan rama-rama ataupun sesenyap bunyi kibasan sayap seekor rama-rama, kita mestilah taat kepada panggilan itu dan peka dengan apa yang Tuhan mahu kita katakan, seperti yang dilakukan oleh Yehezkiel.