Saya memberitahu diri sendiri, selagi saya diam-diam sahaja, saya tidak melakukan apa-apa yang salah. Pada penampilan luarannya, saya menahan kemarahan saya terhadap seorang rakan sekerja setelah tersalah mentafsirkan perkara yang dikatakannya. Memandangkan kami berdua harus berjumpa setiap hari, saya memutuskan untuk mengehadkan komunikasi kami kepada apa yang diperlukan sahaja (dan membalas dengan sikap membisu). Tidak mungkin sikap membisu ini boleh menjadi sesuatu yang salah?

Yesus mengatakan bahawa dosa bermula dari hati (Matius 15:18-20). Kesenyapan saya mungkin telah memperdayakan orang untuk berfikir bahawa semuanya baik-baik sahaja, tetapi tiada apa-apa yang boleh tersembunyi daripada Tuhan. Dia tahu hati saya memendam dengan kemarahan. Saya seperti orang Farisi yang memuliakan Tuhan dengan bibir sahaja, tetapi hati mereka jauh daripada-Nya (ayat 8). Walaupun penampilan luaran saya tidak menunjukkan perasaan sebenar, kepahitan itu meresap dalam diri saya. Sukacita dan keakraban yang saya selalu rasakan dengan Bapa saya yang di syurga telah hilang. Semuanya ini ialah akibat daripada tindakan saya sendiri yang menyimpan dan menyembunyikan dosa.

Dengan kasih kurnia Tuhan, saya berterus terang kepada rakan sekerja saya tentang perasaan sebenar saya dan meminta maaf. Dia memaafkan saya, dan akhirnya kami menjadi kawan baik. Yesus berkata, “Dari hati timbul fikiran jahat” (ayat 19). Keadaan hati kita adalah penting kerana kejahatan yang ada dalam hati kita akan merayap keluar dan mempengaruhi gaya hidup kita. Penampilan luaran dan dalaman kita adalah penting.