Pada bulan Mac 1945, “Tentera Hantu” membantu tentera Amerika Syarikat berjaya menyeberangi Sungai Rhine, yang memberikan pasukan bersekutu sebuah pangkalan utama untuk memberi pertahanan dari Barisan Barat Perang Dunia II. Sudah tentu “Tentera Hantu” itu ialah manusia, bukan hantu, dan merupakan sebahagian Pasukan Khas Ibu Pejabat ke-23. Dalam peristiwa itu, mereka memperdayakan musuh dengan menggunakan beberapa helah. Pasukan yang hanya seramai 1,100 orang itu berpura-pura ada 30,000 orang dengan menggunakan kereta kebal tiruan yang boleh kembung (diisi dengan angin) sebagai umpan, disertakan dengan kesan bunyi letupan dan kenderaan melalui pembesar suara, dan banyak lagi helah yang lain. Bilangan anggota Tentera Hantu yang agak kecil telah membuatkan musuh takut dengan apa yang kelihatan seperti kekuatan yang jauh lebih besar.

Orang Midian dan sekutu mereka juga gementar di hadapan tentera yang sebenarnya berjumlah kecil tetapi kelihatan seperti tentera yang sangat ramai pada waktu malam (Hakim 7:8-22). Gideon, seorang hakim dan pemimpin tentera Israel, telah dipakai oleh Tuhan untuk menjadikan tenteranya yang kecil dan lemah ditakuti musuh. Mereka juga menggunakan kesan bunyi (sangkakala yang ditiup, buyung kosong yang hancur, suara manusia) dan objek-objek yang boleh dilihat (obor yang bakar) untuk membuat jumlah musuh mereka yang ramai seperti “belalang yang berkerumun” (ayat 12), sehingga mereka anggap mereka sedang menghadapi musuh yang besar. Israel telah mengalahkan musuh mereka pada malam itu dengan bilangan tentera dikurangkan daripada 32,000 orang kepada hanya 300 orang atas perintah Tuhan (ayat 2-8). Mengapa? Kerana ini menjelaskan siapa yang sebenarnya menang dalam pertempuran itu. Seperti Tuhan berkata kepada Gideon, “Aku memberi engkau kemenangan atas mereka!” (ayat 9).

Ketika kita berasa lemah dan tidak berupaya, marilah mencari Tuhan dan berehat dalam kekuatan-Nya. “Kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan” (2 Korintus 12:9).