Seorang lelaki telah menerima pesanan makanan yang berharga seribu dolar. Makanan itu termasuk udang besar, kebab gulung, salad dan banyak lagi, tetapi lelaki itu tidak mengadakan apa-apa pesta ataupun memesan sajian makanan yang lazat itu. Rupanya anak lelakinya yang berusia enam tahun yang memesan semua makanan itu. Bagaimanakah ini berlaku? Ini terjadi apabila bapanya membiarkan anaknya bermain dengan telefonnya sebelum tidur, dan budak itu menggunakan aplikasi pada telefon untuk membeli makanan yang mahal dari beberapa buah restoran. “Kenapa kamu buat begitu?” Bapa itu bertanya kepada anaknya, yang bersembunyi di bawah selimutnya. Anak berusia enam tahun itu menjawab, “Aku sangat lapar.” Selera makan dan budak lelaki itu yang tidak matang mengakibatkan bapanya harus membayar harga yang tinggi.
Selera makan Esau juga telah mengakibatkan dia kehilangan lebih daripada seribu dolar. Kisah dalam Kejadian 25 menyatakan bahawa dia keletihan dan terdesak untuk mendapatkan makanan. Maka dia berkata kepada adiknya, “Berilah aku makan sedikit yang merah-merah itu, kerana aku amat lapar” (ayat 30). Yakub menjawab dengan meminta hak Esau sebagai anak sulung (ayat 31). Hak itu termasuklah kedudukan istimewa Esau sebagai anak sulung, berkat daripada janji-janji Tuhan, dua bahagian daripada warisan, dan hak istimewa untuk menjadi pemimpin rohani keluarga. Dengan menyerah kepada selera makannya, Esau “makan dan minum” dan “meremehkan haknya sebagai anak sulung” (ayat 34).
Apabila kita tergoda dan menginginkan sesuatu, kita bukannya membiarkan selera kita membawa kita berbuat kesilapan dan dosa yang teruk. Sebaliknya, marilah kita menjangkau Bapa kita yang di syurga—Dia yang satu-satunya dapat “memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan” (Mazmur 107:9).