Ketika ribut pasir Jelapang Debu melanda Amerika Syarikat semasa Zaman Kemelesetan, John Millburn Davis, iaitu seorang penduduk di Hiawatha, Kansas, memutuskan untuk mencipta nama bagi diri sendiri. Sebagai seorang jutawan yang berjaya atas usahanya sendiri dan tidak mempunyai anak, Davis boleh sahaja melabur dalam kerja amal atau pembangunan ekonomi. Sebaliknya, dia menghabiskan banyak wang dan mengupah orang mengukir 11 buah patung yang ada saiz yang sama dengan dia dan isterinya yang telah meninggal dunia, lalu mendirikan semua patung itu di tanah perkuburan tempatan.

“Orang di Kansas membenci aku,” kata Davis kepada wartawan Ernie Pyle. Penduduk-penduduk tempatan minta dia membiayai pembinaan kemudahan awam seperti hospital, kolam renang atau taman. Namun dia berkata, “Inilah wang saya. Suka hati sayalah bagaimana membelanjakannya.”

Raja Salomo, orang terkaya pada zamannya, menulis, “Pencinta wang tidak akan puas dengan wang,” dan “apabila ada pertambahan harta, akan bertambah juga kalangan yang menghabiskannya” (Pengkhutbah 5:10-11). Salomo semakin sedar bahawa kekayaan cenderung membawa keruntuhan akhlak.

Rasul Paulus juga memahami godaan kekayaan, dan dia memilih untuk “melaburkan” hidupnya dengan mentaati Yesus. Ketika menunggu hukuman mati di penjara Rom, dia menulis dengan penuh kemenangan, “Aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan … Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman” (2 Timotius 4:6-7).

Apa yang kekal bukanlah apa yang kita pahat pada batu atau kekayaan yang kita timbun untuk diri sendiri, melainkan apa yang kita berikan kerana kasih kita kepada sesama dan Tuhan—Tuhan yang terlebih dahulu telah menunjukkan kita cara untuk mengasihi orang.