Pada tahun 1701, Gereja England mendirikan Persatuan Penyebaran Injil untuk menghantar para mubaligh ke seluruh dunia. Moto yang dipilih mereka ialah transiens adiuva nos, yang bermakna “Datanglah dan bantu kami!” dalam bahasa Latin. Ramai duta Injil telah dipanggil untuk menjadi mubaligh melalui moto ini sejak abad pertama, ketika para pengikut Yesus membawa mesej yang mengandungi kasih dan pengampunan-Nya ke dunia yang sangat memerlukannya.

Ungkapan “marilah ke Makedonia menolong kami” berasal daripada “panggilan Makedonia” yang diterangkan dalam Kisah Para Rasul 16. Paulus dan pasukannya telah tiba di Troas di pantai barat Asia Kecil (Turki sekarang, ayat 8). Di sana, “Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’ ” (ayat 9). Setelah menerima penglihatan itu, Paulus dan rakan-rakannya “segera bertolak ke Makedonia” (ayat 10). Mereka memahami betapa pentingnya panggilan itu.

Bukan semua orang dipanggil untuk menyeberangi lautan, tetapi kita boleh menyokong mereka yang melakukannya dengan doa dan pemberian kita secara kewangan. Kita juga boleh menyampaikan berita baik tentang Yesus kepada seseorang sama ada di bilik sebelah, di jalan, atau dalam kalangan komuniti. Marilah kita berdoa agar Tuhan kita yang baik akan menolong kita berkongsi Injil dan memberikan bantuan terbesar kepada orang ramai—peluang untuk mengalami pengampunan dosa dalam nama Yesus.