Apabila saya menyertai satu kumpulan pengarang buku kanak-kanak Kristian yang mendoakan satu sama lain dan membantu menyebarkan berita tentang buku masing-masing, sesetengah orang berkata bahawa kami “bodoh kerana bekerja dengan pesaing.” Tetapi, kumpulan kami komited kepada kepimpinan yang berfikiran kerajaan Tuhan dan ingin mempromosikan komuniti Kristian, bukan persaingan. Kami berkongsi matlamat yang sama, iaitu menyebarkan Injil, dan kami melayani Raja yang sama, yakni Yesus. Bersama-sama, kami menjangkau lebih ramai orang dengan kesaksian kami untuk Kristus.

Apabila Tuhan meminta Musa memilih tujuh puluh orang penatua yang berpengalaman sebagai pemimpin, Dia berkata, “Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkannya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian” (Bilangan 11:16-17). Kemudian, Yosua melihat dua orang daripada penatua itu bernubuat dan menyuruh Musa menghentikan mereka. Musa berkata, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat TUHAN menjadi nabi kerana TUHAN mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!” (ayat 29).

Setiap kali kita memberi tumpuan kepada persaingan atau perbandingan, ini akan menghalang kita bekerja dengan orang lain, namun Roh Kudus memberi kita kemampuan untuk mengatasi godaan itu. Apabila kita memohon Tuhan untuk memupuk kepimpinan yang mementingkan kerajaan-Nya dalam diri kita, Injil akan disebarkan ke seluruh dunia dan beban kita menjadi ringan semasa kita melayani Dia bersama-sama.