Seorang wanita telah menyelamatkan seekor anjing yang bernama Rudy dari tempat perlindungan haiwan beberapa hari sebelum anjing tersebut dimatikan. Anjing itu telah menjadi temannya sejak itu. Selama sepuluh tahun, Rudy tidur dengan tenang di sebelah katil Linda. Namunpada suatu hari, secara tiba-tiba Rudy mula melompat di sebelahnya dan menjilat mukanya. Linda memarahinya, tetapi Rudy mengulangi perbuatan itu setiap malam. “Dengan cepat Rudy akan melompat ke atas riba saya untuk menjilat muka saya setiap kali saya duduk,” kata Linda.
Ketika dia merancang untuk membawa Rudy ke tempat melatih anjing, dia mula perasan sesuatu tentang tingkah laku Rudy yang sentiasa menjilat di tempat yang sama, iaitu di bahagian rahangnya. Dia tertanya-tanya, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Dengan rasa segan, Linda pergi berjumpa doktor yang kemudian menemukan tumor mikroskopik (kanser tulang) dalam badannya. Doktor memberitahu Linda bahawa jika dia menunggu lebih lama, kanser itu mungkin boleh membunuhnya. Linda percaya bahawa Tuhan telah mendedahkan keadaannya melalui Rudy, dan dia gembira dia melakukan pemeriksaan itu.
Kitab Suci memberitahu kita berulang kali bahawa mempercayai Tuhan membawa kehidupan dan kegembiraan. “Diberkatilah orang yang menjadikan TUHAN kepercayaannya,” kata pemazmur (40:4). Beberapa terjemahan menerangkan maksudnya dengan lebih jelas: “Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN” (ayat 5, TMV). Berbahagia yang dimaksudkan dalam mazmur itu menyatakan kelimpahan—sukacita yang meledak, penuh bersemangat.
Apabila kita mempercayai Tuhan, hasil akhirnya kita akan mendapatkan kebahagiaan yang mendalam dan tulen. Kepercayaan ini mungkin tidak datang dengan mudah, dan hasilnya mungkin tidak menurut apa yang kita bayangkan. Namun jika kita percaya kepada Tuhan, kita akan sangat gembira kerana melakukannya.