Apakah yang menyebabkan seseorang membantu pesaingnya? Bagi seorang pemilik restoran yang bernama Adolfo di Wisconsin, ini merupakan peluang untuk menggalakkan pemilik-pemilik restoran tempatan lain yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan peraturan Covid. Adolfo amat faham akan cabaran untuk mengendalikan perniagaan semasa wabak. Oleh sebab dia pernah menerima bantuan daripada peniaga-peniaga tempatan yang lain, maka Adolfo membelanjakan wangnya sendiri untuk membeli kad-kad hadiah yang bernilai lebih daripada dua ribu dolar untuk memberi kepada para pelanggannya, supaya mereka boleh membelanjakannya di restoran-restoran lain dalam komunitinya. Itulah ungkapan kasih yang bukan sekadar kata-kata, tetapi dengan tindakan.

Ungkapan kasih yang terbaik ditunjukkan oleh Yesus yang rela menyerahkan nyawa-Nya untuk umat manusia (1 Yohanes 3:16) Yohanes menggalakkan pembacanya turut mengambil langkah seterusnya dan menerapkan kasih dalam tindakan. Bagi Yohanes, “menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita” (ayat 16) bermakna menunjukkan kasih yang sama ditunjukkan oleh Yesus—dan itu selalunya dalam tindakan yang praktikal setiap hari, seperti berkongsi secara kebendaan. Tidak cukup kita mengasihi dengan kata-kata; kasih memerlukan tindakan yang tulus dan bermakna (ayat 18).

Tindakan kasih bukan mudah kerana kita perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan sendiri untuk kepentingan orang lain, bukannya untuk menguntungkan diri kita sendiri. Namun, apabila Roh Tuhan menolong kita dan mengingatkan kita tentang kasih-Nya yang berlimpah untuk kita, kita boleh mengambil langkah kasih yang seterusnya.