Selama beberapa dekad, McDonald’s menjadi restoran makanan segera yang terkenal dengan burger daging popular mereka, Quarter Pounder (Paun ¼ ). Pada tahun 1980-an, pesaingnya mewujudkan satu idea untuk “menggulingkan” syarikat yang ada logo lengkung emas ini. Restoran makanan segera A&W menawarkan jenis burger Third Pound (Paun ⅓ ) yang lebih besar daripada burger McDonald’s, lalu menjualnya dengan harga yang sama. Tambahan pula, burger A&W banyak memenangi beberapa uji rasa buta (peserta mencuba makanan tanpa mengetahui jenama makanan tersebut). Namun burger itu gagal, tiada siapa yang membelinya. Lama-kelamaan, mereka mengeluarkan burger daripada menu. Penyelidikan mendedahkan bahawa rupanya para pelanggan salah faham dengan pengiraan dan menganggap bahawa burger Third Pound lebih kecil daripada Quarter Pounder. Idea hebat gagal kerana orang ramai kekurangan pengetahuan asas.
Yesus memberi amaran bahawa betapa mudahnya kita juga boleh mengalami kekurangan asas iman. Para pemimpin agama merancang untuk memerangkap Yesus dan memperolok-olokkan Dia pada minggu Dia disalibkan, maka mereka mengandaikan satu senario yang aneh dan hipotesis (satu pendapat yang dianggap benar, namun kebenarannya belum dibuktikan) tentang seorang wanita yang menjadi balu sebanyak tujuh kali (Matius 22:23-28). Yesus menjawab bahawa dilema rumit ini tidak menjadi masalah sama sekali. Sebaliknya, masalah mereka adalah mereka tidak “memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah” (ayat 29). Yesus dengan tegas berkata, Kitab Suci bukan bertujuan untuk menjawab soalan-soalan yang sukar dalam logik atau falsafah. Sebaliknya, matlamat utama Kitab Suci adalah memimpin kita mengenal dan mengasihi Yesus, serta “mendapat hidup kekal” dalam Dia (Yohanes 5:39). Inilah kebenaran dalam asas iman yang terlepas oleh para pemimpin agama.
Kita juga sering terlepas perhatian akan asas iman ini. Matlamat utama Alkitab ialah memimpin kita bertemu dengan Yesus yang hidup. Sungguh menyedihkan jika seseorang tidak tahu akan kebenaran ini.