Cindy teruja dengan pekerjaan baharunya di sebuah pertubuhan yang bukan membuat untung. Dia berasa sungguh gembira, kerana dia berpeluang untuk membuat perubahan! Namun tidak lama kemudian dia mendapati bahawa rakan sekerjanya tidak bersemangat seperti dia. Mereka mengejek misi pertubuhan tersebut dan membuat alasan bagi prestasi mereka yang buruk sementara mencari pekerjaan yang bergaji tinggi di tempat lain. Cindy menyesal memohon pekerjaan ini. Apa yang kelihatan hebat dari jauh sebenarnya mengecewakan dari dekat.

Inilah yang dipersoalkan Yesus tentang pokok ara yang disebut dalam kisah hari ini (Markus 11:13). Pada masa itu belum musim buah ara, namun pokok ara sudah berdaun, ini menandakan bahawa pokok itu akan mula berbuah, tetapi tidak. Pokok itu hanya ada daun tetapi tiada buah. Dengan kecewa Yesus mengutuk pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya” (ayat 14). Pada keesokan paginya pokok ara itu “telah layu kering daripada akarnya” (ayat 20).

Kristus pernah berpuasa selama empat puluh hari, jadi Dia tahu bagaimana rasanya menahan lapar. Dia mengutuk pokok ara itu bukanlah untuk memuaskan selera-Nya, tetapi mengajar kebenaran dengan menggunakan contoh pokok ara. Pokok itu melambangkan orang Israel, yang memiliki kepercayaan yang benar tetapi kehilangan maksudnya yang sebenar. Bahkan mereka hendak membunuh Mesias mereka, Anak Tuhan. Bukankah mereka itu ialah pokok yang tidak berbuah seperti dikatakan oleh Yesus?

Kita mungkin kelihatan baik dari jauh, tetapi Yesus datang mendekat, mencari buah yang hanya dapat dihasilkan oleh Roh-Nya. Buah kita tidak semestinya hebat, tetapi mestilah menghasilkan buah Roh Tuhan seperti kasih, sukacita, dan damai sejahtera pada masa-masa sukar (Galatia 5:22). Dengan bergantung pada Roh Kudus, kita boleh membuahkan hasil bagi Yesus.