Dalam satu tradisi yang bermula seawal abad ketiga belas, ahli-ahli keluarga diraja di United Kingdom akan memberi hadiah kepada orang yang memerlukan pada Maundy Thursday (Khamis Suci), sehari sebelum Jumaat Agung. Amalan ini berasaskan makna perkataan maundy, yang bermaksud “perintah” (mandatum) dalam bahasa Latin. Perintah yang diperingati adalah perintah baru yang diberikan Yesus kepada sahabat-sahabat-Nya pada malam sebelum kematian-Nya: “Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri” (Yohanes 13:34).

Yesus ialah seorang pemimpin yang mengambil peranan sebagai hamba semasa Dia membasuh kaki sahabat-sahabat-Nya (ayat 5). Kemudian Dia memanggil mereka melakukan perkara yang sama: “Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu” (ayat 15). Kemudian Dia melakukan satu tindakan pengorbanan yang lebih besar lagi, Dia menyerahkan nyawa-Nya, mati di kayu salib (19:30). Dengan belas kasihan dan kasih, Dia memberikan diri-Nya agar kita dapat menikmati hidup yang kelimpahan dalam Dia.

Tradisi keluarga diraja British yang melayani orang-orang yang memerlukan pertolongan berterusan sebagai simbol yang mengikuti teladan hebat Yesus. Kita mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga yang istimewa, tetapi apabila kita menaruhkan iman kita kepada Yesus, kita menjadi ahli keluarga-Nya. Kita juga boleh menunjukkan kasih kita dengan melakukan perintah baru-Nya. Apabila kita bergantung pada Roh Tuhan untuk mengubah kita dari dalam, kita boleh menjangkau orang lain dengan keprihatinan, galakan dan kebaikan.