Sebelum Jim Caviezel memainkan watak sebagai Yesus dalam filem The Passion of the Christ (Penderitaan Kristus), pengarah filem itu, Mel Gibson memberi amaran bahawa peranan itu akan menjadi sangat sukar dan boleh memberi kesan negatif kepada kerjayanya di Hollywood. Namun Caviezel tetap mengambil peranan itu. Dia berkata, “Saya fikir kita tetap perlu membuat filem ini, walaupun sukar.”

Semasa penggambaran, Caviezel telah disambar petir, berat badannya menurun kira-kira sebanyak 20 kilogram, dan secara tidak sengaja disebat semasa adegan sebatan. Selepas itu dia berkata, “Saya tidak mahu orang fokus pada saya di skrin. Saya hanya mahu mereka melihat Yesus, lalu percaya kepada Dia.” Filem itu sangat mempengaruhi Caviezel dan yang lain di set penggambaran, dan hanya Tuhan yang tahu berapa ramai antara berjuta-juta orang yang menonton filem itu telah mengalami perubahan hidup.

Penderitaan Kristus merujuk kepada masa kesengsaraan terbesar Yesus, pada saat Dia masuk ke Yerusalem dengan orang ramai mengalu-alukan-Nya pada Minggu Palma, termasuklah pengkhianatan, ejekan, sebatan dan penyaliban-Nya. Siri kejadian ini direkodkan dalam keempat-empat kitab Injil.

Dalam Yesaya 53, penderitaan Kristus dan akibatnya dinubuatkan: “Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya” (ayat 5, TMV). Semua orang “tersesat seperti domba” (ayat 6). Tetapi, disebabkan penyaliban dan kebangkitan Yesus, kita diperdamaikan dengan Tuhan. Penderitaan-Nya membuka jalan bagi kita untuk bersama dengan-Nya.