Lando, seorang pemandu jeepney (sejenis bentuk pengangkutan awam di Filipina) di Manila, meneguk secawan kopi di gerai tepi jalan. Penumpang harian kembali semula selepas pandemik Covid-19. Selain itu, acara sukan hari ini bermakna lebih ramai penumpang, fikirnya. Saya akan mendapat kembali pendapatan saya yang hilang. Akhirnya, tak usah saya bimbang lagi.
Apabila dia baru sahaja hendak memandu, dia ternampak Ronnie duduk di bangku berhampiran. Wajah tukang sapu jalanan tersebut kelihatan muram, seolah-olah dia perlu meluahkan sesuatu dengan orang lain. Namun, setiap minit adalah penting, fikir Lando. Lebih ramai penumpang, lebih banyak pendapatan. Saya tidak boleh tangguh lagi. Tetapi dia merasakan bahawa Tuhan mahu dia mendekati Ronnie, jadi dia pun melakukannya.
Yesus memahami betapa sukarnya untuk tidak bimbang (Matius 6:25-27), oleh itu, Dia meyakinkan kita bahawa Bapa Syurgawi kita mengetahui setiap keperluan kita (ayat 32). Kita diperingatkan untuk tidak bimbang, tetapi mempercayai Dia dan fokus dalam melakukan kehendak Tuhan (ayat 31-33). Semasa kita berpegang dan mentaati segala tujuan-Nya, kita akan mempunyai keyakinan bahawa Bapa kita yang “menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur” akan menyediakan bagi kita menurut kehendak-Nya—sebagaimana Dia menyediakan untuk segala ciptaan-Nya (ayat 30).
Hasil daripada perbualan antara Lando dan Ronnie, tukang sapu jalanan tersebut akhirnya berdoa untuk menjadi seorang yang percaya kepada Kristus, “Tuhan masih menyediakan penumpang yang mencukupi pada hari tersebut,” kata Lando. “Dia memperingatkan saya bahawa Dia sentiasa mencukupi segala keperluan saya, saya hanya perlu mengikut Dia.”