“Sila doakan waktu saya menjalani imbasan otak.” “Semoga anak-anak saya akan kembali ke gereja.” “Sila doa bahawa Tuhan menghiburkan Dave yang kehilangan isterinya.” Setiap minggu pasukan pelayanan kami menerima senarai bahan doa seperti ini agar kami dapat berdoa dan menghantar nota dorongan yang ditulis tangan kepada setiap orang. Permintaan banyak sekali, dan usaha kami seolah-olah kecil dan tidak kelihatan. Namun, pemikiran saya berubah selepas saya menerima kad ucapan terima kasih daripada Dave, yang baru kehilangan isterinya disertakan obituari isteri tercintanya. Saya sedar semula bahawa doa itu penting.
Yesus menjadi teladan bahawa kita harus berdoa sungguh-sungguh, kerap, dan dengan iman yang penuh harapan. Masa-Nya di bumi tidak panjang, tetapi Dia mengutamakan waktu bersendirian untuk berdoa (Markus 1:35; 6:46; 14:32).
Beratus-ratus tahun sebelum itu, raja Israel, iaitu Hizkia juga mempelajari pengajaran ini. Dia diberitahu bahawa penyakit akan segera meragut nyawanya (2 Raja-Raja 20:1). Setelah menangis tersedu-sedu, Hizkia “memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN” (ayat 2). Dalam contoh ini, TUHAN memberi respons yang serta-merta. Dia menyembuhkan penyakit Hizkia, menambah umurnya lima belas tahun lagi, dan berjanji untuk melindungi kerajaannya daripada pihak musuh (ayat 5-6). Tuhan menjawab doanya bukan kerana Hizkia menjalani hidup yang baik, tetapi “demi diri-[Nya] sendiri dan demi Daud, hamba-[Nya]” (ayat 6). Kita mungkin tidak selalu menerima apa yang kita minta, tetapi kita yakin bahawa Tuhan bekerja dalam dan melalui setiap doa.