Ketika Calvin yang berumur empat tahun menjalani pemeriksaan kesihatan rutin, didapati beberapa bintik yang tidak dijangkakan timbul pada badannya. Pada masa itu juga, dia diberi beberapa suntikan, dan bahagian yang disuntik itu dibalut dengan plaster perubatan. Di rumah, apabila tiba masanya untuk menanggalkan plaster kecil itu, Calvin merengek ketakutan. Bapa Calvin berusaha menghiburkannya dengan berkata, “Calvin tahu ’kan abah tidak akan buat Calvin rasa sakit.” Bapa Calvin mahu anaknya percaya kepada dia lebih daripada takut plaster itu ditanggalkan.
Bukan sahaja kanak-kanak berumur empat tahun akan berasa takut apabila menghadapi ketidakselesaan. Pembedahan, perpisahan daripada orang kesayangan, cabaran mental atau psikologi dan lain-lain lagi, semua ini akan menyebabkan kita ketakutan, berkeluh, bertangisan dan merintih.
Daud juga pernah mengalami ketakutan, apabila dia mendapati dirinya berada di wilayah Filistin semasa melarikan diri daripada Raja Saul yang mencemburuinya. Apabila Daud dicam, dia bimbang akan apa yang mungkin berlaku kepadanya (lihat 1 Samuel 21:10-11): “Daud … sangat takut kepada Akhis, raja Gat itu” (ayat 12). Ketika memikirkan situasi yang tidak selesa ini, Daud menulis, “Apabila aku berasa takut, aku berharap kepada-Mu … Kepada Allah, aku meletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar” (Mazmur 56:3-4).
Apakah yang akan kita lakukan apabila ketidakselesaan hidup mencetuskan ketakutan kita? Kita boleh menaruh kepercayaan kepada Bapa Syurgawi kita.