Bertahun-tahun yang lalu, Bandar Raya New York melancarkan kempen “Tetap Tunggu. Tetap Selamat” untuk mendidik orang ramai tentang cara bertenang dan tetap selamat apabila terperangkap di dalam lif. Para pakar melaporkan bahawa sebab utama yang mengakibatkan pengguna lif mati ketika terperangkap adalah kerana mereka cuba mengumpil pintu lif atau cuba keluar dengan beberapa cara lain. Sebenarnya, cara terbaik ialah menekan butang penggera untuk meminta bantuan dan menunggu kedatangan pasukan bomba.
Rasul Paulus menyatakan pelan penyelamatan yang sangat berbeza untuk membantu orang yang terperangkap dalam gelumang dosa. Dia mengingatkan jemaah Efesus tentang ketidakupayaan mereka secara rohani yang betul-betul “telah mati akibat kesalahan dan dosa” (Efesus 2:1). Mereka terperangkap, “menurut jalan dunia” dan “raja segala kuasa di udara” (ayat 2), serta enggan tunduk kepada Tuhan. Akibatnya Tuhan murka terhadap mereka. Akan tetapi, Dia tidak membiarkan mereka terperangkap dalam kegelapan rohani. Rasul itu menulis bahawa bagi mereka yang percaya kepada Yesus, mereka “telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya” (ayat 5, 8). Tuhan datang sendiri ke bumi ini untuk menyelamatkan kita, dan respons kita terhadap keselamatan-Nya menghasilkan iman. Iman juga bermakna bahawa kita tidak lagi cuba menyelamatkan diri sendiri atas usaha sendiri, tetapi menyeru Yesus untuk menyelamatkan kita.
Kita diselamatkan daripada perangkap dosa bukan atas usaha diri kita sendiri, tetapi hanya dengan kasih kurnia Tuhan melalui Yesus (ayat 8).
Mengapakah anda tidak dapat menyelamatkan diri sendiri daripada perangkap dosa? Bagaimanakah Tuhan telah menyediakan apa yang anda perlukan untuk diselamatkan?
Ya Tuhan, aku amat bersyukur kerana ketika aku terperangkap dalam dosa dan berusaha untuk menyelamatkan diriku sendiri, Engkau telah menyelamatkanku terlebih dahulu dengan mengutus Penyelamat untuk membebaskanku.
Satu akronim yang membantu untuk menggambarkan kasih kurnia Tuhan adalah
GRACE—God’s Riches at Christ’s Expense (Kekayaan Tuhan dengan Pengorbanan Kristus). Frasa ini menyimpulkan dan memperbesarkan kenyataan bahawa keselamatan—kita diselamatkan daripada dosa kita (pengampunan, menjadi benar di hadapan Tuhan)—ialah pekerjaan Tuhan yang harus diterima dengan iman, bukanlah sesuatu yang dapat kita peroleh atas usaha sendiri. Akronim lain yang menggambarkan kebenaran ini ialah
GFFG—God’s Favor Freely Given (Rahmat Tuhan Diberikan Dengan Percuma). Perkataan Yunani
cháris, yang diterjemahkan sebagai "grace" (kasih kurnia), digunakan secara luas dalam Perjanjian Baru (sebelas kali dalam kitab Efesus) dengan pelbagai makna, termasuklah "niat bersih," "belas kasihan," dan "kasih kurnia." Efesus 2:7 menggambarkan "limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam belas ihsan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus." Maksud yang sama juga terdapat dalam Lukas 1:30: "Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, 'Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah
diredai Allah.' "
Kebaikan Tuhan ialah melimpah kerana "kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata" (Titus 2:11).
Arthur Jackson