Satu abad yang lalu, hutan yang tumbuh subur meliputi kira-kira 40 peratus daripada Ethiopia, tetapi hari ini hanya tinggal sekitar 4 peratus sahaja. Pembersihan kawasan luas untuk tanaman tanpa melindungi pokok-pokok telah mengakibatkan krisis ekologi. Sebahagian besar tanah sekangkang kera yang masih ada pokok dilindungi oleh pihak gereja. Selama berabad-abad, gereja tempatan Tewahido Ortodoks Ethiopia telah menjaga oasis tersebut di tengah-tengah gurun gersang. Jika anda melihat imej udara, anda akan nampak pulau-pulau menghijau yang dikelilingi oleh pasir berwarna perang. Para pemimpin gereja menegaskan bahawa usaha memelihara pokok-pokok merupakan sebahagian kepatuhan mereka kepada Tuhan sebagai pengurus ciptaan-Nya.

Nabi Yesaya menulis kepada orang Israel yang tinggal di tanah kontang dan sering menghadapi krisis hidup disebabkan gurun gersang serta kemarau yang dahsyat. Yesaya pun menggambarkan masa depan yang dimaksudkan Tuhan, iaitu “gurun dan bumi yang kontang akan bergirang, belantara akan bergembira dan berbunga” (Yesaya 35:1). Tuhan bukan sahaja bermaksud untuk menyembuhkan umat-Nya, tetapi juga bumi. Dia akan “menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru” (65:17). Dalam dunia Tuhan yang diperbaharu, “[gurun] akan berbunga lebat” (35:2).

Penjagaan Tuhan terhadap segala ciptaan—termasuk manusia—mendorong kita juga menjaganya. Kita dapat hidup selaras dengan rancangan muktamad-Nya untuk menyembuhkan dunia ini dan mewujudkan dunia yang sempurna sebagai penjaga kepada ciptaan-Nya. Kita dapat menyertai Tuhan untuk menjadikan semua jenis gurun bermekaran dengan kehidupan dan keindahan.