Selepas Persidangan Keamanan Paris yang mengakhiri Perang Dunia Pertama, Marsyal Perancis, iaitu Ferdinand Foch berkata dengan sedih, “Ini bukanlah keamanan. Ini cuma perjanjian gencatan senjata selama dua puluh tahun.” Pandangan Foch bercanggah dengan pendapat umum bahawa konflik yang mengerikan itu akan menjadi “peperangan untuk menamatkan semua peperangan.” Dua puluh tahun dan dua bulan kemudian, Perang Dunia Kedua meletus. Betul kata Foch.

Dahulukala, Mikha, satu-satunya nabi Tuhan yang benar di wilayah itu pada masa tersebut, secara konsisten menubuatkan bahawa pasukan tentera Israel akan mengalami kekalahan teruk (2 Tawarikh 18:7). Sebaliknya, empat ratus orang nabi palsu Raja Ahab menubuatkan kemenangan, “Ketahuilah, nabi-nabi itu bersatu hati mengatakan hal yang baik kepada raja,” kata seorang pegawai istana kepada Mikha. “Jadi, hendaklah kata-katamu sama dengan kata-kata seorang daripada kalangan mereka. Katakanlah hal yang baik” (ayat 12).

Mikha menjawab, “Sesungguhnya apa yang difirmankan Allahku, itulah yang akan kukatakan” (ayat 13). Seterusnya dia menubuatkan bagaimana Israel akan “tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala” (ayat 16). Betul kata Mikha. Akhirnya orang Aram membunuh Ahab lalu tenteranya melarikan diri (ayat 33-34; 1 Raja-Raja 22:35-36).

Seperti Mikha, kita yang mengikut Yesus berkongsi mesej yang bercanggah dengan pendapat umum. Yesus berkata, “Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku” (Yohanes 14:6). Ramai orang tidak menyukai mesej itu kerana ini kedengaran satu mesej yang berfikiran sempit. Terlalu eksklusif, kata orang. Namun demikian, Kristus membawa penghiburan melalui mesej yang inklusif, yang merangkumi semua orang. Dia mengalu-alukan setiap orang yang datang kepada-Nya.