Bunga pokok ceri yang harum manis membanjiri Jepun dengan warna merah jambu pucat dan terang yang sungguh cantik pada setiap musim bunga. Pemandangan ini menyenangkan deria penduduk setempat dan pelancong. Sifat bunga yang pendek hayat itu memupuk kesedaran yang sungguh-sungguh dalam kalangan orang Jepun untuk menikmati keindahan dan keharuman sementara bunga itu masih mekar: pengalaman yang amat singkat itu menyerlahkan kepiluannya. Mereka menamakan sikap yang dengan sengaja menikmati keseronokan yang akan berubah dengan cepat ini sebagai “mono-no-aware.”

Sebagai manusia, memang difahami bahawa kita ingin mencari dan melanjutkan perasaan sukacita. Namun, realiti bahawa hidup penuh dengan kesusahan bermakna kita mesti memupuk keupayaan untuk melihat kedua-dua kesakitan dan kesenangan melalui lensa iman melalui Tuhan yang maha pengasih. Bukan sahaja kita tidak perlu terlalu pesimis, tetapi kita juga tidak harus membentuk pandangan hidup yang cerah secara tidak realistik.

Kitab Pengkhutbah mengemukakan pedoman yang berguna untuk kita. Walaupun kebanyakan kandungan kitab ini dikatakan menyatakan pemikiran negatif, namun Raja Salomo yang turut menulis bahawa “segala-galanya hanya sia-sia” (1:2) juga mendorong pembacanya mencari sukacita dalam perkara-perkara sederhana dalam kehidupan dengan berkata, “Tiada yang lebih baik daripada makan, minum dan bersifat ceria bagi manusia” (8:15).

Sukacita datang apabila kita meminta Tuhan untuk membantu kita “memahami hikmah” dan belajar untuk “memahami erti segala perbuatan yang dilakukan Allah di bawah matahari” (ayat 16-17), baik pada masa yang indah mahupun sukar (3:11-14; 7:13- 14), kerana kita tahu bahawa kedua-dua musim senang atau sukar tidak berkekalan di bumi.