Adolf Hitler percaya bahawa dusta besar lebih berkuasa daripada dusta kecil, dan secara tragik, dia berjaya membuktikan teorinya. Pada awal karier politiknya, dia mendakwa bahawa dia senang hati untuk menyokong aspirasi orang lain. Sesudah dia memegang tampuk kuasa, dia berkata bahawa partinya tidak berniat untuk menganiaya sesiapa. Kemudian, dia menggunakan media untuk memaparkan dirinya sebagai tokoh bapa dan pemimpin bermoral.
Iblis menggunakan dusta untuk menguasai hidup kita. Seboleh-bolehnya, dia menimbulkan ketakutan, kemarahan dan keputusasaan kerana dia “pendusta dan bapa segala dusta” (Yohanes 8:44). Seperti yang dikatakan Yesus, Iblis tidak dapat menyatakan kebenaran kerana tidak ada sebarang kebenaran dalam dirinya.
Yang berikut ialah beberapa dusta musuh. Pertama, doa kita tidak penting. Tidak, doa kita penting! Alkitab berkata, “Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat” (Yakobus 5:16). Kedua, apabila kita dalam kesusahan, tiada jalan keluar. Salah lagi. “Tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah” (Markus 10:27), dan “[Dia] akan memberimu jalan keluar” (1 Korintus 10:13). Ketiga, Tuhan tidak mengasihi kita. Itu palsu. Tidak ada yang dapat “memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita” (Roma 8:38-39).
Kebenaran Tuhan lebih berkuasa daripada dusta. Jika kita mematuhi ajaran Yesus, bersandar pada kekuatan-Nya, maka kita “akan mengenal kebenaran,” menolak apa yang palsu, dan “kebenaran akan membebaskan [kita]” (Yohanes 8:31-32).