Pada 12 Julai 2022, ahli-ahli sains sedang menunggu Teleskop Angkasa Lepas James Webb yang baharu mengirimkan gambar pertama tentang ruang angkasa lepas yang terdalam. Teleskop terkini itu dapat meninjau lebih jauh ke alam semesta daripada yang pernah ditinjau oleh manusia sebelum ini. Tiba-tiba timbulnya satu imej yang menakjubkan: pemandangan angkasa lepas berwarna daripada Carina Nebula muncul di depan mata dengan imej yang tidak pernah kelihatan sebelum ini. Seorang ahli astronomi NASA memetik kata-kata Carl Sagan, seorang ateis yang terkenal: “Di suatu tempat, sesuatu yang luar biasa sedang menunggu kita saksikan.”
Kadang-kadang orang mungkin “memandang” Tuhan namun masih tidak melihat-Nya. Bagaimanapun, Sang Pemazmur iaitu Daud memandang ke langit dan betul-betul mengetahui apa yang dilihatnya: “Engkau telah menetapkan kemuliaan-Mu yang mengatasi langit” (Mazmur 8:1). Sagan memang betul mengatakan bahawa “sesuatu yang luar biasa sedang menunggu,” tetapi dia gagal untuk mengakui apa yang jelas dilihat oleh Daud: “Apabila aku melihat langit-Mu, hasil kerja jari-Mu, bulan dan bintang, yang Kautentukan, apakah manusia maka Engkau mengingatnya?” (ayat 3-4).
Apabila kita melihat imej ruang angkasa lepas yang paling dalam, kita kagum bukan setakat kerana teknologi, tetapi kerana kita menyaksikan karya ciptaan Tuhan. Kita kagum kerana dalam ciptaan yang luas terbentang, Tuhan telah menjadikan kita “penguasa atas seluruh ciptaan-[Nya]” (ayat 6). Sesungguhnya “sesuatu yang luar biasa sedang menunggu”—Tuhan sedang menunggu untuk membawa orang yang mempercayai Yesus kepada-Nya apabila Dia kembali. Itulah imej yang paling menakjubkan.