Rakan saya Joann meninggal dunia akibat strok ketika wabak Koronavirus mula merebak pada tahun 2020. Pada mulanya keluarga Joann memberitahu bahawa upacara memperingatinya akan diadakan di gerejanya, tetapi kemudian keluarganya memutuskan bahawa adalah lebih baik melangsungkannya di pusat memorial untuk mengawal bilangan hadirin. Jadi keluarga Joann menyiarkan notis baharu ini dalam talian: Joann Warners—Bertukar Tempat.

Ya, tempat Joann telah bertukar! Dia telah pergi dari tempat di bumi ke tempat di syurga. Tuhan mengubah hidupnya bertahun-tahun dahulu, dan dia dengan penuh kasih melayani-Nya selama hampir lima puluh tahun. Walaupun dalam keadaan nazak di hospital, dia masih bertanyakan khabar orang lain yang dikasihinya dan yang menghadapi pergelutan. Sekarang dia di pangkuan Tuhan; dia telah bertukar tempat.

Rasul Paulus berkeinginan untuk bersama Kristus di tempat lain (2 Korintus 5:8), tetapi dia juga merasakan demi kepentingan orang yang dilayaninya, lebih baik dia tinggal di bumi. Dia menulis kepada jemaah Filipi, “tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani” (Filipi 1:24). Apabila kita bersedih untuk kepergian seseorang seperti Joann, kita mungkin berseru kepada Tuhan sesuatu yang serupa: Mereka bukan sahaja saya perlukan di sini tetapi oleh ramai lagi yang disayangi dan dilayani mereka. Akan tetapi, Tuhan mengetahui masa terbaik untuk mereka dan kita untuk bertukar tempat.

Dalam kekuatan Roh Kudus, kita kini “berusaha supaya tetap diredai-Nya” (2 Korintus 5:9) sehingga kita bersemuka dengan-Nya, waktu itu memang waktu yang menjadi jauh lebih baik!