Disebabkan kasih kepada Tuhan dan manusia, Kathryn setia dan giat melayani dalam penterjemahan Alkitab. Dia bersukacita apabila wanita di India memahami firman Tuhan dengan lebih mendalam, kerana mereka dapat membacanya dalam bahasa ibunda mereka. Dia menyatakan bahawa apabila golongan wanita di situ mula memahami kebenaran dalam Alkitab, “Mereka sering bersorak atau bertepuk tangan. Selepas mereka membaca tentang Yesus, mereka akan berkata, ‘Oh, hebat!’”
Kathryn ingin sekali lebih ramai orang membaca Alkitab dalam bahasa mereka sendiri. Dengan hasrat ini, dia mengingatkan penglihatan Yohanes, iaitu murid Yesus yang meningkat tua di Pulau Patmos. Melalui Roh Kudus, Tuhan membawanya pergi ke hadapan takhta di syurga. Di sana dia terlihat “lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, … berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba” (Wahyu 7:9). Semua orang bersama-sama menyembah Tuhan sambil berseru, “Penyelamatan ada pada Allah kami” (ayat 10).
Tuhan terus menambah bilangan manusia yang memuji-Nya. Dia bukan sahaja menggunakan kerja para penterjemah Alkitab dan orang yang mendoakan mereka, tetapi juga orang yang menjangkau sesama mereka dalam kasih dengan berkongsi berita baik tentang Yesus. Kita boleh bersukacita dalam misi yang menggembirakan ini, dan mengagumi bagaimana Tuhan akan menyemarakkan semangat lebih ramai orang untuk menyertai para malaikat untuk berseru, “Segala pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan, kuasa dan kebesaran bagi Allah kami selama-lamanya!” (ayat 12).