Sudah bertahun-tahun sejak kami meninggalkan bandar Oregon, tempat kami membesarkan anak-anak kami. Kami mempunyai banyak kenangan manis di sana, dan kunjungan baru-baru ini mengingatkan saya tentang detik-detik yang sudah saya lupakan: permainan bola sepak anak-anak perempuan kami, rumah lama kami, pertemuan anggota gereja dan restoran Mexico milik rakan-rakan kami. Walaupun bandar itu telah berubah, tetapi terdapat juga beberapa tempat yang kekal sama, sehingga mencetuskan keinginan saya untuk kembali mengunjunginya.
Apabila orang Israel dibuang ke Babel, mereka merindui orang, tempat, dan budaya yang lazim bagi mereka. Mereka lupa bahawa mereka telah dibuang kerana mereka menderhakai Tuhan. Apabila para nabi palsu memberitahu orang buangan itu bahawa mereka akan pulang ke tanah air dalam tempoh dua tahun (Yeremia 28:2-4; 29:8-9), orang Israel sudi percaya, malah mereka menerima kata-kata licik para nabi palsu itu yang menjanjikan kepulangan segera ke tanah air.
Tuhan tidak berkenan dengan nabi-nabi palsu ini dan janji kosong mereka. “Jangan tertipu oleh para nabi yang ada di tengah-tengahmu dan oleh penenungmu,” kata-Nya (29:8). Dia mempunyai rancangan untuk umat-Nya, “rancangan kesejahteraan … untuk mengurniakan kepada [mereka] masa depan dan harapan” (ayat 11). Keadaan mereka mencabar, sukar dan baru, tetapi Tuhan bersama mereka. “Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu,” Dia berfirman kepada mereka (ayat 13). Tuhan “akan mengembalikan (mereka) ke tempat sebelum Dia membuang (mereka)” (ayat 14), tetapi menurut masa-Nya.
Nostalgia menyebabkan kita berfikiran suntuk, dan mudah merindui masa lalu. Namun jangan kita terlepas apa yang sedang dilakukan Tuhan sekarang. Dia akan menunaikan janji-Nya.