Alex Smalley mahu semua orang bangun lebih awal—atau mungkin lebih kerap diam sebentar pada penghujung hari. Kenapa? Demi merenung matahari terbit dan terbenam. Detik-detik sekilas itulah masa yang paling indah dan mengagumkan dalam sehari, menurut Smalley, ketua penyelidik satu kajian British mengenai kesan cuaca yang mencetuskan kekaguman. Malah bukan sahaja langit biru atau pemandangan malam yang bergemerlapan, ketakjuban dalam matahari terbit atau matahari terbenam juga dapat membuat angin kita lebih baik, meningkatkan emosi positif dan mengurangkan tekanan. Smalley berkata, “Apabila anda menyaksikan sesuatu yang sungguh luar biasa dan mempesonakan, atau sesuatu yang menghasilkan perasaan kagum, beban dalam masalah hidup seolah-olah menjadi ringan dan anda tidak begitu lagi risau tentangnya.”

Penemuan Smalley mengenai keajaiban menggemakan apa yang diungkapkan oleh nabi Yeremia: “Ah, ya Tuhan ALLAH, sesungguhnya Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan lengan-Mu yang terhulur. Tidak ada sesuatu hal yang mustahil bagi-Mu” (Yeremia 32:17).

Raja Daud juga merenungkan ciptaan Tuhan, lalu mengisytiharkan “Seluruh langit mengakui kemuliaan Allah; dan cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya. Hari menyebutkan kepada hari; malam memberitahu kepada malam” (Mazmur 19:1-2). Bagi matahari, “(Ia) terbit lalu beredar dari satu hujung ke satu hujung langit; tiada yang terlindung daripada panasnya” (ayat 6). Kegemilangan dalam ciptaan Tuhan mencerminkan Sang Pencipta yang maha berkuasa. Luangkanlah masa pada hari ini untuk menengadah ke langit dan takjub akan Dia!