Dalam buku perumpamaan The Wise Woman yang ditulis oleh George MacDonald, dia mengisahkan dua orang gadis yang bersikap mementingkan diri telah membawa kesengsaraan kepada semua orang, termasuklah diri mereka sendiri, sehingga seorang wanita bijak membiarkan mereka melalui satu siri ujian demi menolong mereka menjadi “bagus” semula.
Setelah kedua-dua gadis itu gagal dalam setiap ujian dan berhadapan dengan rasa malu dan kesepian, akhirnya seorang daripada mereka, iaitu Rosamond menyedari bahawa dia tidak dapat mengubah dirinya sendiri. “Dapatkah puan membantu saya?” dia bertanya kepada wanita bijak itu. “Mungkin boleh, sebab kamu memohon kepada saya” jawab wanita tersebut. Maka dengan bantuan wanita itu, yang melambangkan Tuhan, Rosamond pun mula berubah. Kemudian Rosamond bertanya kepada wanita bijak itu jika dia akan diampuni kerana dia telah banyak menimbulkan masalah. Kata wanita bijak itu, “Sekiranya saya tidak memaafkan kamu, saya pun tidak akan bersusah payah untuk mendisiplinkan kamu.”
Ada masanya Tuhan mendisiplinkan kita. Penting untuk memahami sebabnya. Teguran-Nya tidak didorong oleh pembalasan tetapi oleh keprihatinan seorang bapa terhadap manfaat kita (Ibrani 12:6). Dia juga menginginkan kita ”mendapat sebahagian kesucian-Nya,” meraih tuaian “buah perbenaran yang mendatangkan rasa aman” (ayat 10-11). Sifat mementingkan diri membawa kesengsaraan, tetapi kesucian menjadikan kita utuh, sukacita dan “bagus” seperti Dia.
Rosamond bertanya kepada wanita bijak itu mengapa dia dapat mengasihi seorang gadis yang mementingkan diri sendiri seperti dia. Sambil membongkok untuk menciumnya, wanita itu menjawab, “Sebab saya melihat apa yang akan kamu jadi kelak.” Teguran Tuhan juga disertakan kasih sayang dan keinginan untuk memulihkan tujuan asal penciptaan kita.