Apabila rakan-rakan saya Al dan Kathy Schiffer menerbangkan pesawat ikonik era Perang Dunia II mereka ke pertunjukan udara, reaksi daripada veteran perang warga emas yang paling bermakna bagi mereka. Para veteran itu akan singgah untuk bercakap-cakap tentang waktu perkhidmatan mereka dalam peperangan dan pesawat pejuang yang dipandu mereka. Kebanyakan kisah pertempuran mereka disampaikan dengan linangan air mata. Ramai yang berkata bahawa berita terbaik yang diterima mereka semasa berkhidmat untuk tanah air ialah, “Hai anak-anak, perang sudah berakhir. Tiba masa kita pulang.”
Kata-kata daripada generasi terdahulu ini berkaitan dengan peperangan yang melibatkan orang yang percaya kepada Yesus, yakni perjuangan iman kita demi melawan Iblis, iaitu musuh ketat jiwa kita. Rasul Petrus memperingatkan kita, “Musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa.” Dia mencubai kita dalam pelbagai cara dan menggunakan kehampaan dalam penderitaan serta penganiayaan untuk cuba membuat kita berundur daripada iman kita kepada Yesus. Petrus mencabar orang percaya pada zaman awal dan kita hari ini untuk “kawallah dirimu dan berwaspadalah” (1 Petrus 5:8). Kita harus bergantung pada Roh Kudus supaya kita tidak membiarkan musuh menyebabkan kita menyerah kalah dan jatuh rebah.
Kita tahu bahawa suatu hari nanti Yesus akan kembali. Apabila Dia datang, firman-Nya akan mempunyai kesan yang sama dirasai oleh askar-askar zaman perang, dengan air mata bergenangan dan sukacita di hati kita: “Hai anak-anak, perang sudah berakhir. Tiba masanya kita pulang ke rumah Bapamu.”