Ketika saya dan isteri saya, Cari, tamat pendidikan tinggi, kami mempunyai hutang sebanyak beberapa ribu dolar yang perlu kami cantumkan melalui kadar bunga yang paling rendah. Kami telah memohon pinjaman di sebuah bank tempatan tetapi permohonan kami ditolak kerana kami belum tinggal atau bekerja dengan lama di kota itu. Beberapa hari kemudian, saya berkongsi apa yang terjadi kepada seorang rakan yang bernama Ming, yang merupakan seorang pemimpin di gereja kami. “Saya perlu sebut hal ini kepada isteri saya,” katanya ketika kami berjalan keluar..
Beberapa jam kemudian, telefon berdering. Ming berkata melalui telefon: “Isteri saya, Ann dan saya ingin meminjamkan kamu wang yang kamu perlukan, tanpa faedah” . Saya tidak tahu apa yang perlu katakan, jadi saya menjawab, “Saya tidak boleh meminta itu daripada kamu.” “Kamu tidak meminta!” jawab Ming dengan riang. Mereka dengan baik hati memberikan pinjaman kepada kami, kemudian saya dan Cari membayar mereka semula secepat yang kami boleh.
Saya percaya Ming dan Ann bermurah hati kerana kasih mereka kepada Tuhan. Sebagaimana yang diberitahukan dalam Alkitab, “Orang yang baik sentiasa pemurah dan rela meminjamkan, dia mengendalikan urusannya dengan adil” (Mazmur 112:5). Orang yang percaya kepada Tuhan memperoleh hati yang “teguh” serta “tenteram” (ayat 7-8), memahami bahawa Dialah sumber segala yang baik dalam hidup mereka.
Tuhan sentiasa bermurah hati kepada kita selama ini, malah memberi kita kehidupan dan pengampunan. Marilah kita menunjukkan kemurahan hati dengan berkongsi kasih-Nya dan apa yang kita miliki dengan orang yang memerlukan.