Rakan saya tergesa-gesa pulang dari tempat kerjanya yang tertekan, iaitu di hospital, sambil memikirkan apa yang akan dihidangkan untuk makan malam sebelum suaminya pulang dari tempat kerja yang juga agak tertekan. Dia telah memasak ayam pada hari Ahad dan menghidangkan lebihannya pada hari Isnin. Kemudian, mereka sekali lagi makan ayam—kali ini ayam panggang—pada hari Selasa. Rakan saya menjumpai dua ketul ikan di dalam peti sejuk, tetapi dia tahu isi ikan itu bukan kegemaran suaminya. Oleh sebab tidak menemui apa-apa lagi yang boleh masak dalam beberapa minit, dia memutuskan untuk menghidangkan ikan itu sahaja.
Semasa dia meletakkan hidangan di atas meja, dia berkata dengan nada meminta maaf kepada suaminya yang baru tiba di rumah: “Saya tahu ini bukan kegemaran kamu.” Suaminya mendongak dan berkata, “Sayang, saya gembira kerana kita mempunyai makanan di atas meja.”
Sikapnya mengingatkan saya tentang pentingnya untuk bersyukur dan berterima kasih atas rezeki harian kita daripada Tuhan—walau apa pun. Yesus ialah teladan kita untuk mengucap syukur atas roti, atau makanan harian kita. Apabila Dia makan bersama dua orang murid selepas kebangkitan-Nya, Kristus “mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka” (Lukas 24:30). Dia juga berterima kasih kepada Bapa-Nya sebelum ini ketika Dia memberi makan kepada lima ribu orang dengan lima “buku roti barli dan dua ekor ikan” (Yohanes 6:9). Apabila kita bersyukur untuk makanan harian kita dan rezeki-rezeki lain, rasa kesyukuran kita mencerminkan Yesus dan memberikan kemuliaan kepada Bapa syurgawi kita. Marilah bersyukur kepada Tuhan hari ini.