Dalam kelab Alkitab yang diadakan selepas sesi persekolahan, ladang pelayanan yang isteri saya Sue melibatkan diri sekali seminggu, kanak-kanak diminta untuk menderma wang bagi membantu kanak-kanak di Ukraine yang dilanda perang. Kira-kira seminggu selepas Sue memberitahu Maggie, iaitu cucu perempuan kami yang berusia sebelas tahun tentang projek itu, kami mendapat sampul suratnya yang mengandungi $3.45 dan sekeping nota: “Ini sahaja yang aku ada untuk anak-anak di Ukraine. Nanti aku bagi lagi.”

Sue tidak mencadangkan kepada Maggie bahawa dia harus membantu, tetapi mungkin Roh Kudus telah mendorongnya. Maggie yang mengasihi Yesus dan berusaha untuk hidup bagi-Nya, pun memberikan respons.

Banyak yang boleh kita pelajari apabila kita memikirkan hadiah kecil yang berasal dari hati yang besar ini. Ini mencerminkan beberapa pengajaran tentang sikap memberi yang disarankan oleh Paulus dalam 2 Korintus 9. Pertama, rasul mencadangkan agar kita menyemai “banyak” (ayat 6). Maka pemberian “semua yang saya ada” pastinya merupakan pemberian yang murah hati. Paulus juga menulis bahawa pemberian kita harus dilakukan dengan sukacita menurut pimpinan Tuhan dan kemampuan kita, bukan kerana kita “terpaksa” (ayat 7). Rasul juga menyebut nilai tentang “menaburkan kurnia … dalam kalangan orang miskin” (ayat 9) dengan memetik Mazmur 112:9.

Apabila kita ada peluang untuk memberi, mari kita tanya bagaimana Tuhan mahu kita memberikan respons. Apabila kita bermurah hati dan sukacita dalam menyalurkan pemberian kepada orang yang memerlukan dengan pimpinan Tuhan, sebenarnya kita memberi dengan cara yang “akan menimbulkan rasa syukur kepada Allah” (2 Korintus 9:11). Itulah pemberian yang murah hati.