Apabila rakan saya Paul sedang menunggu ketibaan seorang juruteknik untuk membaiki peti sejuknya, dia melihat teks pada telefonnya daripada syarikat perkakas itu. Ia berbunyi: “Yesus sedang dalam perjalanannya dan dijangka akan tiba kira-kira pada pukul 11:35 pagi.” Dengan segera Paul menyedari bahawa nama juruteknik itu sememangnya Jesús dalam bahasa Sepanyol (disebutkan he-SUS).
Tetapi bilakah kita boleh mengharapkan Yesus, iaitu Anak Tuhan akan tiba? Ketika Dia datang sebagai manusia lebih daripada dua ribu tahun yang lalu dan menderita disebabkan hukuman dosa kita, Dia berkata bahawa Dia akan kembali—tetapi hanya Bapa yang tahu “hari atau waktunya” yang tepat untuk kedatangan-Nya (Matius 24:36). Apakah perbezaan yang mungkin kita lakukan dalam keutamaan hidup kita sehari-hari, jika kita tahu saat Juruselamat kita akan datang kembali ke bumi ini? (Yohanes 14:1-3).
Yesus mengingatkan kita untuk bersedia bagi kedatangan-Nya: “Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka” (Matius 24:44). Dia mengingatkan kita untuk berjaga-jaga kerana “kamu tidak mengetahui waktunya Tuhanmu datang” (ayat 42).
Pada hari kedatangan Kristus, kita tidak akan mendapat pemberitahuan pada telefon kita. Oleh itu, melalui kuasa Roh yang bekerja melalui kita, mari kita hidup setiap hari dengan perspektif keabadian, melayani Tuhan dan memanfaatkan setiap peluang untuk berkongsi mesej yang mengandungi kasih dan harapan-Nya dengan orang lain.