Apabila pak cik Emory meninggal dunia, penghormatan terakhir yang diterimanya banyak dan pelbagai. Namun semua penghormatan itu membawa tema yang konsisten—Emory menunjukkan kasihnya kepada Tuhan dengan melayani orang lain. Dia menjadi teladan terutama pada waktu perkhidmatan ketenteraannya dalam Perang Dunia II, yang dia berkhidmat sebagai pegawai perubatan yang pergi berperang tanpa senjata. Dia menerima penghormatan tertinggi kerana keberaniannya, tetapi Emory paling diingati kerana pelayanan yang penuh belas kasih, semasa dan selepas perang.

Sikap Emory yang tidak mementingkan diri memenuhi cabaran Paulus kepada orang Galatia. ”Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih” (Galatia 5:13). Tetapi bagaimana? Dalam kehancuran hati kita, kita terbiasa untuk mendahulukan diri sendiri, bukannya orang lain, jadi dari mana datangnya sikap tidak mementingkan diri sendiri ini?

Dalam Filipi 2:5, Paulus memberikan dorongan ini: “Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus.” Paulus menggambarkan kesediaan Kristus untuk mengalami kematian di kayu salib disebabkan oleh kasih-Nya yang besar kepada kita. Hanya ketika Roh Tuhan menghasilkan fikiran Kristus dalam diri kita, barulah kita dapat dikhususkan dan diberi kebolehan untuk berkorban bagi orang lain—mencerminkan pengorbanan Yesus yang paling besar ketika Dia menyerahkan diri-Nya bagi kita. Semoga kita tunduk kepada pekerjaan Roh dalam diri kita.