Beberapa tahun yang lalu, gereja kami telah dijemput untuk menjadi tuan rumah bagi para pelarian dari negara yang mengalami kegoncangan besar dalam kepimpinan negara mereka. Keluarga-keluarga itu biasanya datang dengan hanya membawa beg kecil yang berisikan sedikit barang. Maka beberapa buah keluarga dari gereja kami mempelawa mereka tinggal di rumah mereka, termasuk beberapa buah keluarga yang mempunyai ruang bilik yang terhad.
Penjagaan mereka terhadap kebajikan para pelarian itu mencerminkan perintah Tuhan yang disampaikan sebanyak tiga kali kepada orang Israel ketika mereka memasuki tanah perjanjian (Ulangan 24:19-21). Sebagai masyarakat pertanian, mereka memahami kepentingan tuaian. Tanaman adalah penting untuk membolehkan mereka bertahan hidup sehingga tahun seterusnya. Ketika Tuhan meminta mereka meninggalkan sisa-sisa tanaman dengan berkata, ”Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu”, Tuhan mahu mereka mempercayai-Nya (ayat 19). Orang Israel diperintahkan untuk bermurah hati bukan hanya apabila mereka tahu mereka sudah mempunyai secukupnya, tetapi memberi dengan hati yang percaya kepada penyediaan Tuhan.
Penjagaan terhadap orang lain juga merupakan peringatan “bahawa dahulunya [mereka] hamba di Mesir” (ayat 18, 22). Mereka pernah ditindas dan hidup melarat. Kemurahan hati mereka ialah peringatan terhadap kemurahan Tuhan kepada mereka, yang membebaskan mereka daripada perhambaan.
Orang yang percaya kepada Yesus juga digesa untuk bermurah hati. Paulus mengingatkan kita, “[Kristus] kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya” (2 Korintus 8:9). Kita memberi kerana Dia terlebih dahulu telah memberi kepada kita.