Bertahun-tahun sebelum Zoom menjadi alat komunikasi yang mudah diakses, seorang rakan meminta saya menyertainya dalam satu panggilan video untuk membincangkan sebuah projek. Melalui nada e-mel saya, dia dapat tahu bahawa saya bingung, jadi dia mencadangkan saya mencari seorang remaja untuk membantu saya menyediakan panggilan video.
Cadangan rakan itu menunjukkan nilai hubungan antara generasi. Inilah sesuatu yang ditemukan dalam kisah Rut dan Naomi. Rut sering dipuji kerana dia seorang menantu yang setia, memutuskan untuk meninggalkan negeri asalnya untuk menemani Naomi kembali ke Betlehem (Rut 1:16-17). Ketika mereka tiba di kota, perempuan yang lebih muda itu berkata kepada Naomi, “Izinkan aku pergi ke ladang mengutip bulir-bulir barli di belakang orang yang murah hati kepada [kita]” (2:2). Dia membantu wanita tua, yang kemudiannya membantu wanita yang lebih muda itu mengahwini Boas. Nasihat Naomi untuk Rut telah mendorong Boas mengambil tindakan untuk membeli segala milik arwah mentua Rut dan mengambil Rut sebagai isterinya (4:9-10).
Kita pastinya menghormati nasihat orang yang berkongsi kebijaksanaan dengan generasi muda. Tetapi Rut dan Naomi mengingatkan kita bahawa pertukaran ini boleh berlaku dua arah. Kita selalu boleh mempelajari sesuatu, tidak kira melalui orang yang lebih muda atau yang lebih tua daripada kita. Mari kita berusaha untuk mengembangkan hubungan antara generasi dengan penuh kasih sayang dan kesetiaan. Usaha ini akan memberkati kita dan orang lain serta membantu kita mempelajari sesuatu yang tidak kita ketahui.