“Mengapa saya mendapat lolipop strawberi, dia pula mendapat lolipop anggur?” tanya anak saudara saya yang berumur enam tahun. Inilah waktunya saya mempelajari daripada anak-anak saudara saya bahawa kanak-kanak sering membandingkan apa yang mereka dapat dengan apa yang diterima oleh orang lain. Ini bermakna, sebagai mak cik yang sayang pada mereka, lain kali baik saya mengelakkan keadaan yang mewujudkan perbandingan ini!
Saya juga kadang-kadang membandingkan apa yang diberikan Tuhan kepada saya dengan apa yang diberikan-Nya kepada orang lain. “Mengapa saya ada ini, dan dia pula ada itu?” Saya bertanya kepada Tuhan. Soalan saya mengingatkan saya tentang apa yang ditanya oleh Simon Petrus kepada Yesus di tepi Laut Galilea. Yesus baru sahaja memulihkan dan mengampuni Petrus kerana penyangkalannya sebelum ini terhadap Dia, dan kini memberitahu bahawa dia akan memuliakan Tuhan dengan mati sebagai martir (Yohanes 21:15-19). Petrus tidak menjawab terus tentang jemputan Yesus yang memanggil dia mengikut Penyelamatnya, sebaliknya dia bertanya, “Tuhan, bagaimana dengan [Yohanes]?” (ayat 21).
Yesus menjawab, “Apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku” (ayat 22). Saya percaya Yesus akan mengatakan perkara yang sama kepada kita. Apabila Dia sudah memberi kita arahan hidup, Dia mahu kita percaya kepada Dia. Kita tidak perlu membandingkan jalan kita dengan jalan orang lain, kita hanya perlu mengikut Dia.
Selama lebih daripada tiga puluh tahun, rasul Petrus mengikut Tuhan sebagai seorang pemimpin gereja awal yang berani. Catatan sejarah juga menunjukkan bahawa dia tanpa takut menghadapi kematian di bawah Maharaja Nero yang kejam. Semoga kita juga teguh dan tidak ragu-ragu ketika mengikut Tuhan, mempercayai kasih dan arahan-Nya.