Kami berkhemah di bawah bintang, tanpa apa-apa antara kami dan langit di Afrika Barat. Sebenarnya khemah tidak diperlukan pada musim kemarau, tetapi yang penting ada api. “Jangan sesekali biarkan api padam,” kata ayah sambil menujah-nujah kayu api dengan sebatang kayu. Api menghalang binatang liar mendekati kita. Ciptaan Tuhan sangat indah, tetapi tentunya kita tidak mahu harimau atau ular berkeliaran di tapak perkhemahan kita.
Bapa saya ialah seorang mubaligh kepada sebuah pertubuhan yang bernama “Ghana’s Upper Region”, dan dia mahir menukarkan semua waktu kepada mod pengajaran. Masa perkhemahan juga tidak terkecuali.
Tuhan juga menggunakan perkhemahan sebagai sarana pengajaran untuk mengajar umat-Nya. Satu minggu dalam setahun, orang Israel akan tinggal di pondok-pondok sementara yang diperbuat daripada “pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa” (Imamat 23:40). Tujuannya ada dua. Tuhan memberitahu mereka, “Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal dalam pondok-pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir” (ayat 42-43). Tetapi peristiwa itu juga adalah untuk diraikan. “Bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu selama tujuh hari” (ayat 40).
Mungkin perkhemahan tidak membawa keseronokan bagi anda, tetapi Tuhan mengadakan perkhemahan selama seminggu untuk orang Israel sebagai cara untuk mengingati kebaikan-Nya. Kita mudah melupakan makna utama tentang cuti-cuti perayaan kita. Namun perayaan kita boleh menjadi peringatan yang menggembirakan tentang keperibadian Tuhan kita yang penuh kasih. Dia juga menciptakan keseronokan.