Beberapa minit selepas Presiden Amerika Syarikat, Harry Truman mengumumkan berakhirnya Perang Dunia II, telefon berdering di sebuah rumah papan kecil di Grandview, Missouri. Seorang wanita yang berusia 92 tahun meminta diri untuk menjawab panggilan itu. Tetamunya mendengar dia berkata, “Helo … Ya, ‘mak baik-baik saja. Ya, ‘mak telah mendengar radio … Sekarang bolehlah kamu datang melawat ‘mak jika boleh … Bye bye.” Wanita tua itu kembali kepada tetamunya. “Itu [anakku] Harry. Harry seorang yang baik … aku tahu dia akan menelefon aku. Dia selalu menelefon aku selepas sesuatu berlaku.”
Tidak kira apa itu pencapaian atau usia kita, kita teringin menghubungi ibu bapa kita untuk mendengar kata-kata pengesahan mereka, “Syabas!” Walaupun kita mungkin telah memperoleh pencapaian tinggi, kita ini sentiasa merupakan anak mereka.
Sedihnya, bukan semua orang mempunyai hubungan seperti itu dengan ibu bapa duniawi mereka. Tetapi melalui Yesus, setiap kita memiliki Tuhan sebagai Bapa kita. Kita yang mengikut Kristus telah menjadi anggota keluarga Tuhan, kerana kita “telah menerima Roh yang menjadikan [kita] anak Allah” (Roma 8:15). Kini, “kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus” (ayat 17). Kita tidak bercakap dengan Tuhan sebagai hamba, tetapi kini mempunyai kebebasan untuk menggunakan nama intim yang digunakan oleh Yesus pada saat Dia sangat memerlukan, “Abba, Bapa” (ayat 15; baca juga Markus 14:36).
Adakah anda ingin berkongsi berita? Apakah keperluan anda? Beritahulah Tuhan yang merupakan sumber pertolongan anda.