Seorang rakan lama menghantar nota kepada saya selepas kematian suami saya: “Alan ialah seorang yang bergelut dengan Tuhan. Dia bagaikan Yakub yang benar dan merupakan alasan kukuh aku menjadi seorang Kristian hari ini.” Saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan pergelutan Alan dengan Yakub, bapa bangsa Israel, tetapi huraian rakan saya ini memang sesuai. Sepanjang hidupnya, Alan bergelut dengan dirinya dan Tuhan untuk mendapatkan jawapan. Dia mengasihi Tuhan tetapi bukan selalu memahami kebenaran ini bahawa Tuhan sudah mengasihi, mengampuni dan mendengar doanya. Namun, hidupnya diberkati, dan dia memberi pengaruh yang positif kepada ramai orang.
Kehidupan Yakub dicirikan dengan pergelutan. Dia menipu abangnya, Esau untuk mendapatkan haknya sebagai anak sulung. Dia melarikan diri dari rumah dan bergelut selama bertahun-tahun dengan saudara dan bapa mentuanya, Laban. Kemudian dia melarikan diri daripada Laban. Dia bersendirian dan takut untuk berjumpa dengan Esau. Namun dia baru sahaja mengalami pertemuan dengan malaikat: “Para malaikat Allah datang menemuinya” (Kejadian 32:1), ini mungkin menjadi peringatan tentang mimpinya daripada Tuhan sebelum ini (28:10-22). Sekarang Yakub menghadapi satu lagi pertemuan: sepanjang malam dia bergelut dengan seorang “manusia,” Tuhan dalam bentuk manusia, yang menamakannya Israel, kerana dia “sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia” (32:28). Tuhan menyertai dan mengasihi Yakub walaupun dia melalui segala kesusahan.
Setiap kita mempunyai pergelutan. Tetapi kita tidak bersendirian; Tuhan bersama kita dalam setiap ujian kehidupan. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dikasihi, diampuni, dan dijanjikan hidup kekal (Yohanes 3:16). Kita boleh berpegang teguh pada janji-Nya.