Demi mengurangkan pembaziran makanan, sebuah rangkaian pasar raya di Singapura menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang sedikit kurang elok dengan harga yang lebih rendah. Dalam satu tahun, inisiatif ini berjaya menjimatkan lebih daripada 850 tan (778,000 kg) hasil tanaman yang sebelum ini akan dibuang kerana tidak memenuhi piawaian estetik. Para pembeli pun segera menyedari bahawa penampilan luar—cela atau bentuk yang aneh—tidak menjejaskan rasa dan nilai khasiat pemakanan. Apa yang kelihatan di luar tidak selalunya menentukan apa yang ada di dalam.
Nabi Samuel mendapat iktibar yang sama apabila dia diutus oleh Tuhan untuk mengurapi raja Israel yang baru (1 Samuel 16:1). Apabila dia melihat Eliab, iaitu anak sulung Isai, Samuel menyangka bahawa dialah yang terpilih. Akan tetapi Tuhan berfirman: “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, … Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati” (ayat 7). Antara lapan orang anak lelaki Isai, Tuhan memilih Daud, anak bongsu—yang menggembala kawanan domba bapanya (ayat 11)—untuk menjadi raja seterusnya.
Tuhan lebih mementingkan hati kita daripada kelayakan luaran kita, misalnya tahap pendidikan kita, pendapatan, atau perbuatan amal kita. Yesus mengajar murid-murid-Nya memiliki hati yang suci serta menghindari fikiran yang mementingkan diri sendiri dan jahat, kerana “apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya” (Markus 7:20). Sebagaimana Samuel belajar untuk tidak memandang penampilan luaran, semoga dengan pertolongan Tuhan, kita juga menyelidiki hati kita—fikiran dan niat kita—dalam segala yang kita lakukan.