Saya menjangkakan ada lapan biji pisang. Sebaliknya, apabila saya membuka beg runcit yang dihantar ke rumah saya, ada dua puluh biji pisang! Saya segera menyedari bahawa perpindahan saya ke England bermakna bahawa saya juga harus beralih daripada memesan barangan runcit dalam unit paun kepada unit kilogram. Saya sepatutnya memesan tiga paun pisang, tetapi saya telah salah memesan tiga kilogram (hampir tujuh paun!) pisang!
Dengan bilangan pisang yang begitu banyak, saya membuat beberapa biji kek pisang kegemaran saya untuk berkongsi berkat tersebut dengan orang lain. Semasa saya melecek pisang untuk dibuat kek, saya merenungkan kehidupan saya yang telah mengalami kelimpahan yang tidak terjangka—dan setiap jalan menghala kembali kepada Tuhan.
Paulus mempunyai pengalaman yang serupa, dia merenungkan kelimpahan yang telah dilakukan Tuhan dalam hidupnya. Dalam surat pertamanya kepada Timotius, Paulus berhenti seketika untuk menghuraikan hidupnya sebelum dia mengenal Yesus, dengan menghuraikan dirinya sebagai “seorang yang kufur, menganiaya dan ganas” (1 Timotius 1:13); “orang yang paling berdosa” (ayat 15). Dalam keadaan Paulus yang hancur, Tuhan melimpahkan kasih kurnia, iman dan kasih (ayat 14). Selepas menceritakan semua rahmat Tuhan yang kelimpahan dalam hidupnya, Paulus menaikkan pujian kepada Tuhan dengan mengisytiharkan bahawa Tuhan layak menerima segala “penghormatan dan kemuliaan untuk selama-lamanya” (ayat 17).
Seperti Paulus, setiap kita menerima kasih kurnia yang berlimpah apabila kita menerima tawaran Yesus untuk diselamatkan daripada dosa (ayat 15). Apabila kita berhenti sejenak untuk merenungkan segala berkat yang telah kita terima, kita akan menjadi seperti Paulus, mengatakan puji-pujian kepada Tuhan kita yang pemurah dan penuh kesyukuran.