Seorang pencuri memecah masuk ke dalam sebuah kedai membaiki telefon, memecahkan kaca sebuah almari peragaan sehingga berkecai serta mula mengebas telefon dan sebagainya. Dia cuba menyembunyikan identitinya daripada kamera pengawasan dengan menggunakan kotak kadbod untuk menutup kepalanya. Tetapi kotak tersebut tersenget seketika dan mendedahkan mukanya. Beberapa minit kemudian, pemilik kedai yang telah melihat rakaman video rompakan tersebut menghubungi polis dan mereka berjaya menahan pencuri itu di luar sebuah kedai yang berhampiran. Kisahnya memberi amaran kepada kita bahawa setiap dosa yang tersembunyi akan terdedah pada suatu hari kelak.
Manusia cenderung cuba menyembunyikan dosa. Bagaimanapun, dalam kitab Pengkhutbah kita membaca bahawa kita harus mentaati perintah Tuhan, kerana setiap perkara yang tersembunyi akan dihadapkan kepada pengadilan-Nya yang benar dan adil (12:14). Penulis kitab Pengkhutbah menulis, “Sentiasa takut kepada Allah dan patuhilah segala perintah-Nya kerana itu memang kewajipan setiap insan” (ayat 13). Bahkan perkara-perkara tersembunyi yang dilarang dalam Sepuluh Perintah (Imamat 4:13) tidak akan terlepas daripada penghakiman-Nya. Dia akan membawa setiap perbuatan ke muka pengadilan, sama ada baik atau jahat. Namun kerana kasih kurnia-Nya, kita dapat memperoleh pengampunan untuk dosa-dosa kita dalam Yesus dan pengorbanan-Nya bagi pihak kita (Efesus 2:4-5).
Apabila kita peka dan menghayati perintah-perintah-Nya, kita akan memupuk sikap yang takut akan Tuhan dan menjalani hidup yang melakukan kehendak-Nya. Marilah kita membawa dosa kita kepada Tuhan serta mengalami kasih dan pengampunan-Nya.