Dr. Tiffany Gholson telah melihat kesan jenayah terhadap bandar kecilnya di East Saint Louis, Illinois, Amerika Syarikat dalam pelbagai segi. Bagaimanapun, menjelang tahun 2023, bandar itu mencatatkan penurunan sebanyak 31 peratus dalam kes pembunuhan dan penurunan sebanyak 37 peratus dalam jenayah secara keseluruhan. Apakah yang berlaku? Satu perkongsian. Dengan bekerja bersama-sama, Kumpulan Penguat Kuasa Keselamatan Awam di bandar—termasuk polis negeri dan bandar, daerah sekolah bandar dan sebuah organisasi keagamaan—menggabungkan usaha demi memutar arus untuk semua penduduk.
“Kami menganggapnya sebagai perkahwinan,” kata Dr. Gholson, dengan semua anggota perkongsian bandar tersebut turut serta untuk membantu penduduk. Gholson mengetuai Pusat Kesejahteraan Wraparound di daerah sekolah, melibatkan petugas sosial sekolah, jururawat dan kakitangan untuk membantu kanak-kanak yang terjejas oleh jenayah atau kemalangan. Agensi lain juga berkongsi kelebihan organisasi mereka. Pihak polis berkomitmen untuk lebih banyak bercakap dengan orang gelandangan—dan mendengari mereka.
Pemazmur Daud menulis, “Lihatlah, betapa baik dan menyenangkan hati apabila saudara-saudara seiman hidup bersama dengan bersatu padu!” (Mazmur 133:1). “Kerukunan,” tambah Daud, “menyegarkan seperti embun dari Gunung Hermon” (ayat 3 FAYH). Daud merujuk kepada orang yang berkongsi iman yang menyatukan dalam Tuhan. Kita tidak berbelah bahagi oleh doktrin atau politik, tetapi kita satu. Konsep ini mungkin terasa sukar difahami, namun ia memberkati semua. Inilah suatu matlamat yang indah bagi orang percaya untuk menunjukkan keprihatinan terhadap satu sama lain—terutamanya di bandar-bandar kita yang sangat memerlukan kasih Yesus.