“Aku telah berdoa untuk kamu selama 50 tahun,” kata wanita tua itu. Rakan saya Lou memandang mata wanita itu dengan penuh kesyukuran. Lou mengunjungi kampung di Bulgaria, tempat bapanya dibesarkan lalu ditinggalkannya semasa dia masih remaja. Wanita tersebut, seorang yang percaya kepada Yesus, tinggal di sebelah rumah datuk dan nenek Lou. Dia mula berdoa untuk Lou sebaik sahaja dia mendengar tentang kelahirannya di benua yang lain. Kini, lebih setengah abad kemudian, Lou berkunjung ke kampung itu atas tujuan kerja, dan pada waktu dia di sana, dia bercakap dengan sekumpulan orang tentang imannya. Lou percaya kepada Yesus apabila dia hampir berusia 30 tahun, dan apabila wanita ini datang menemuinya selepas dia bercakap, dia tertanya-tanya tentang kesan doa tekun wanita ini terhadap imannya kepada Yesus.
Kita tidak akan mengetahui kesan penuh tentang doa kita di dunia. Akan tetapi, Alkitab memberi kita nasihat ini: “Bertekunlah dalam doa dan berjaga-jaga serta mengucap syukur” (Kolose 4:2). Apabila Paulus menulis kata-kata tersebut kepada orang percaya di kota kecil Kolose, dia juga meminta didoakan agar Tuhan akan “membukakan [mereka] suatu pintu” agar dia dapat berkongsi tentang Yesus ke mana-mana sahaja dia pergi (ayat 3).
Kadang-kadang kita mungkin berfikir, saya tidak mempunyai kurnia rohani untuk berdoa. Namun, antara semua kurnia rohani yang disenaraikan dalam Alkitab, doa tidak termasuk di dalamnya. Mungkin ini kerana Tuhan menginginkan setiap kita belajar untuk tekun berdoa, supaya kita dapat melihat apa yang hanya boleh dilakukan Tuhan.