Baru-baru ini, dua orang nenek dari Texas menjadi sensasi media kerana mereka menghabiskan perjalanan mengelilingi dunia dalam masa 80 hari pada usia 81 tahun. Dua orang sahabat karib yang telah berkenalan selama 23 tahun itu telah menjelajahi kesemua tujuh benua di dunia. Mereka bermula di Antartika, menari tango di Argentina, menunggang unta di Mesir, dan menaiki kereta luncur salji semasa di Kutub Utara. Mereka telah melawat 18 buah negara termasuk Zambia, India, Nepal, Indonesia, Jepun dan Itali lalu menamatkan perjalanan mereka di Australia. Kedua-dua mereka berkata bahawa mereka berharap telah menginspirasi generasi akan datang untuk menikmati penjelajahan dunia tanpa mengira usia mereka.
Dalam kitab Keluaran, kita membaca tentang dua peribadi berusia 80-an yang dipanggil oleh Tuhan untuk satu pengembaraan yang tidak dapat dilupakan. Tuhan memanggil Musa menghadap Firaun dan menuntut agar dia membebaskan umat-Nya daripada perhambaan. Tuhan mengutus Harun, iaitu abang Musa untuk membantunya. “Umur Musa lapan puluh tahun manakala Harun lapan puluh tiga tahun sewaktu mereka berbicara kepada Firaun” (Keluaran 7:7).
Permintaan sebegini akan terasa menakutkan pada usia apa jua pun, tetapi Tuhan telah memilih dua orang saudara ini untuk tugas tersebut dan mereka mentaati perintah-Nya. “Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu mereka melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN” (ayat 10).
Musa dan Harun diperkenankan untuk menyaksikan Tuhan membebaskan umat-Nya daripada perhambaan selama lebih 400 tahun. Dua orang bersaudara ini menunjukkan bahawa Tuhan memakai kita tanpa mengira umur kita. Sama ada kita muda atau tua, marilah kita mentaati-Nya ke mana pun Dia memimpin kita.