Dulu gereja yang kami hadiri di Virginia selalu mengadakan upacara pembaptisan di Sungai Rivanna. Cahaya matahari di situ panas, tetapi airnya sejuk sekali. Selepas ibadah Ahad berakhir, kami akan memasuki kereta dan karavan kami untuk pergi ke sebuah taman bandar. Di situ ramai orang bermain cakera terbang (Frisbees) dan kanak-kanak berseronok di taman permainan. Semasa kami berjalan-jalan keluar masuk ke pinggir sungai, kami menjadi tarikan perhatian orang-orang di sekeliling kami. Sambil berdiri di dalam air yang amat sejuk, saya akan membaca Alkitab dan membenamkan mereka yang dibaptiskan ke dalam air sebagai ungkapan kasih Tuhan yang nyata. Ketika mereka keluar dari air dengan tubuh yang basah kuyup, sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi. Semasa menaiki tebing sungai, sahabat handai dan kaum kerabat mendakap mereka yang baru dibaptis sehingga semua orang berbasahan. Kami menikmati kek, minuman dan makanan ringan. Orang-orang di sekeliling yang memerhatikan kami tidak selalu memahami apa yang berlaku, tetapi mereka tahu bahawa kami bersuka ria.
Dalam Lukas 15, perumpamaan Yesus tentang anak yang hilang (ayat 11-32) menunjukkan bahawa apabila seseorang kembali dan bertaubat kepada Tuhan, maka akan ada suka ria. Setiap kali apabila seseorang percaya dan menerima Tuhan, tiba masanya untuk bersuka ria. Apabila anak lelaki yang telah meninggalkan bapanya kembali ke rumah, bapa itu segera memakaikannya pakaian yang terbaik, cincin berkilauan dan kasut baharu. “Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun,” kata si bapa. “Marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria” (ayat 23). Sebuah pesta besar-besaran dan penuh keriangan termasuklah sesiapa sahaja yang ingin menyertai pesta itu merupakan cara yang wajar untuk “bersuka ria” (ayat 24).